Monday 26 January 2015

Bahaya Zina (Surah Al-Isra' : 32)


            Manusia dijadikan dengan berbagai nafsu. Salah satu dorongan nafsu yang paling sukar dibendung ialah keinginan terhadap  hubungan seksual antara lelaki dan perempuan. Bagi melampiaskan keinginan tersebut dengan cara yang menepati syarak ialah melalui ikatan perkahwinan yang sah. Permasalahannya ialah, keingingan ini sering membelenggu golongan remaja yang sedang asyik melayani perasaan cinta terhadap pasangannya. Bagi golongan remaja yang dangkal ilmu agama pasti akan mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan sumbang tersebut. Ditambah pula apabila budaya ‘bercouple’ menjadi satu ‘trend’, remaja bebas  melampiaskan nafsu bersama pasangannya tanpa ada perasaan malu atau takut dengan natijah yang bakal ditanggung. Maka berlakulah perbuatan zina kerana dilakukan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.  Sebagai satu amaran yang keras, Allah swt berfirman  yang bermaksud :
 “Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sesungguhnya suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”. (Surah Al-Isra’  ayat 32)

            Zina menurut terminologis syara’ ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dan seorang perempuan tanpa akad nikah yang sah mengikut hukum syara’ .  Kalimahولا تقربوا  yang dipetik daripada ayat 32 dalam surah Al-Isra’ adalah manifestasi dari segi hukumnya iaitu haram dan tergolong dalam kumpulan dosa besar. Kalau dihampiri sudah dilarang apatah lagi melakukannya. Maksud menghampiri ialah segala perbuatan yang menjadi penyebab dan pendorong keinginan untuk melakukan zina yang diulit oleh bisikan syaitan seperti duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi, bergaul bebas tanpa batas, memberi isyarat dan berbalas mesej berbau lucah .

            Penyimpangan seksual di kalangan remaja Islam amat membimbangkan. Media elektronik dan internet dianggap sebagai salah satu faktor utama menyebabkan berlakunya gejala zina. Remaja mudah terdedah dengan berbagai maklumat yang didominasi oleh idea Barat terutama dalam aspek gaya hidup yang kononnya memperjuangkan dasar kebebasan. Contohnya  hidup bersekedudukan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan dan pergaulan bebas yang dipaparkan dalam filem-filem . Melalui internet pula, laman-laman web yang berunsur pornografi sangat mudah untuk dilayari yang menjadi daya rangsangan kepada golongan remaja untuk berzina. Gaya hidup seperti ini tidak sesuai dengan hukum agama yang mementingkan soal menjaga adab pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sebagaimana riwayat Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita melainkan yang
 ketiganya ialah syaitan”

            Faktor kedua yang boleh menjerumuskan remaja Islam dalam gejala zina ialah permasalahan ar-Raqabah” yang bermaksud kelemahan penjagaan dan pengawasan kaum lelaki (suami atau bapa) terhadap wanita mereka sama ada isteri atau anak-anak. Atas dasar kepercayaan, anak-anak perempuan diberi kebebasan untuk keluar rumah dan bergaul dengan orang-orang yang bukan mahram. Ibu bapa kurang bersikap tegas dan berwaspada dengan perbuatan anak-anak remaja . Sedangkan Islam menetapkan hukum supaya perempuan yang keluar rumah perlu ditemani oleh wali atau mahramnya . Ketetapan ini bertujuan untuk menjaga keselamatan  dan maruah remaja perempuan daripada gangguan lelaki dan fitnah masyarakat. Mereka akan mudah terjebak dalam masalah pergaulan bebas yang akhirnya mendorong ke arah perbuatan zina. Lantaran itu, Rasulullah saw melarang keras perbuatan tersebut melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang bermaksud :
“Janganlah seorang lelaki berduaan dengan wanita kecuali bersama mahramnya”.

            Di dalam ayat 32 surah Al-Isra’, Allah swt juga menyebut إنه كان فحشة وساء سبيلا untuk menerangkan  bahawa zina adalah perbuatan yang sangat hina sehingga mendatangkan  kesan yang amat berat untuk ditanggung sama ada semasa hidup di dunia mahupun di akhirat. Zina adalah “seburuk-buruk jalan” kerana merenggut nilai kemanusiaan menjadikannya sama seperti binatang dalam melampiaskan nafsu secara terang-terangan , menggunakan jalan yang salah dan tanpa menggunakan akal yang waras. Zina juga adalah “satu bentuk kekejian” kerana merosakkan nasab sehingga mengakibatkan kehancuran umat, masyarakat dan dunia lantaran dihuni dengan keturunan yang tidak baik.

Melihat kepada natijah perbuatan zina pula, semasa hayatnya di dunia, penzina akan menanggung berbagai jenis penyakit kelamin seperti sifflis, gonorea dan AIDS sebagai balasan untuk menjadi pengajaran kepada orang lain. Implikasi yang mengerikan ini berlanjutan sehingga kepada masalah genetik kerana menjangkiti janin dalam kandungan yang akhirnya membawa kematian. Kesemua penyakit tersebut tidak ada ubat dan penawarnya melainkan meningkatkan angka korban saban tahun. Kesukaran dan kegagalan dalam mencari penawarnya adalah petunjuk kepada ketegasan Allah swt untuk menghalang umatNya daripada memandang mudah terhadap gejala zina dan menjadikannya sebagai amalan hidup.  Sebagai taukidnya, Allah swt berfirman lagi dengan maksudnya : :
 “Sesungguhnya perbuatan zina itu amat keji dan dibenci Allah serta
seburuk-buruk jalan”. ( Surah an-Nisa’ ayat 22)

            Malapetaka tersebut tidak berhenti setakat itu sahaja apabila zina membawa kepada tiga dosa besar yang lain iaitu kelahiran anak luar nikah, pembuangan dan pembunuhan bayi. Fenomena tersebut dianggap lebih kejam dan menjelekkan  berbanding masyarakat Jahiliayah zaman dahulu kerana dilakukan oleh golongan manusia yang kononnya hidup bertamadun tetapi tidak bertunjang dengan ilmu dan akal yang waras. Menurut statistik, pada tahun 2009, sebanyak 17’303 kelahiran bayi luar nikah telah dicatatkan.  Lebih menggerunkan lagi apabila 407 kes pembuangan dan pembunuhan bayi dilaporkan sejak tahun 2005 sehingga 2010 yang semuanya dilakukan oleh golongan remaja seawal umur 14 tahun. Segala bukti tersebut telah dipaparkan oleh pihak media massa sebagai informasi umum. Namun , adakah pendedahan tersebut menggamit rasa keinsafan bagi si pelaku terutamanya golongan remaja Islam? Semakin banyak berita yang dilaporkan, semakin bertambah pula kes yang berlaku dan seolah-olah bermusim sebagaimana menurut tanggapan sesetengan ahli masyarakat. Dalam isu perbuatan membunuh pula, golongan remaja yang melakukannya diklasifikasikan sebagai lebih hina daripada haiwan  yang lebih tahu untuk menyayangi anaknya. Maka Allah swt berfirman dengan maksudnya :
 “Dan barangsiapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja , maka balasannya ialah neraka jahannam, dia kekal di dalamnya" .(Surah an-Nisa’ ayat 93)

            Beratnya balasan yang ditanggung di dunia, berat lagi azab yang akan menimpa di akhirat. Ingatlah bahawa ada kalanya balasan Allah swt dilakukan secara ‘tunai’. Lebih malang lagi sekiranya si pelaku tidak sempat untuk bertaubat .  Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa “Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya ada 4 keadaan iaitu hilang seri pada muka, disempitkan rezeki, mengundang kemurkaan Allah dan berkekalan di dalam akhirat”. Dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj,  Rasulullah saw telah diperlihatkan dengan keadaan dimana seorang lelaki dan seorang perempuan makan daging busuk, digantung buah dada dengan rantai api neraka dan keluar nanah busuk dari kemaluan mereka. Apabila Rasulullah saw bertanya, maka Allah swt menjelaskan bahawa inilah bentuk keaiban dan balasan azab yang ditanggung oleh penzina  di akhirat. Melihat keadaan demikian, lalu Rasulullah saw menangis kesedihan kerana mengenangkan betapa ramainya dikalangan umatnya yang melakukan dosa tersebut hinggalah di akhir zaman ini. Subhanallah...

            Segala fakta yang telah dirungkaikan tadi cukup menggerunkan. Justeru, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan bertindak untuk membendung gejala kotor ini daripada berleluasa sebelum berlakunya kemurkaan Allah swt melalui musibah yang diturunkan. Tidak ada cara lain yang lebih baik melainkan kembali kepada prinsip-prinsip Islam iaitu melalui kaedah ‘tazkiatun nafs’ dan ‘muhasabatun nafs’ serta kembali beramal soleh. Bagi kaum perempuan hindarilah ‘ikhtilath’ iaitu pergaulan bebas, bertabarruj secara berlebihan dan peliharalah aurat. Hal ini demikian kerana, perkara-perkara tersebutlah yang menjadi punca berlakunya gejala zina. Wanita yang beriman wajib menjaga penampilan diri dan tingkah-lakunya supaya terhindar dari bahana fitnah terutama ketika keluar bermuamalah bersama masyarakat. Mudah-mudahan, dengan langkah tersebut juga dapat menundukkan pandangan kaum lelaki bagi mengelakkan sebarang ransangan, ancaman dan gangguan seksual. Sebagai ahli masyarakat, sifat prihatin dan peka terhadap perilaku umat sekeliling harus diterapkan dengan melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar serta menegakkan hukum menurut al-Quran melalui pelaksanaan hukuman yang setimpal kepada golongan yang melakukan zina. Ketegasan dalam soal menghukum akan menimbulkan rasa takut dan keinsafan golongan yang lain terutamanya remaja daripada melakukan perbuatan zina. Usaha ini juga dapat melahirkan generasi muda yang sihat, bermaruh dan berakhlak. Mudah-mudahan umat Islam akan selamat dari gejala zina  dan sejahtera kehidupan mereka  di dunia dan di akhirat. Insyaallah....



No comments:

Post a Comment