Friday 27 March 2015

Minat Sebagai Pendorong Kecemerlangan

Sekadar perkongsian...kepada seluruh warga pendidik. 
Sepanjang tempoh pengalaman mengajar, pelbagai pendekatan telah saya gunakan dalam proses pengajaran. Cabaran utama yang dihadapi ialah bagaimana untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar. Mengapa minat menjadi salah satu daripada faktor penting dalam proses pengajaran? Minat menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) ialah daya penggerak atau kecenderungan seseorang untuk memberi perhatian kepada sesuatu benda dan peristiwa. Menurutnya lagi minat berupaya meningkatkan keinginan dan daya usaha pelajar untuk mempelajari atau memiliki sesuatu benda. Pelajar yang mempunyai minat akan berasa seronok dan bersungguh-sungguh untuk belajar kerana mereka akan mendapat kepuasan daripada proses pembelajaran itu sendiri. Menurut Sulaiman Masri (1996) sikap pelajar yang bersungguh-sungguh terhadap pembelajaran adalah pendorong kearah pencapaian akademik yang cemerlang. Kenyataan ini disokong pula oleh Lee Shok Mee (1991) yang menegaskan bahawa minat pelajar memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kesediaan pelajar untuk belajar. Pelajar yang minat dalam perkara yang dipelajarinya akan mencapai prestasi cemerlang. Selaras dengan pendapat Ee Ah Meng (1988) yang menyatakan bahawa apabila seseorang pelajar itu berminat dengan dengan apa yang dilakukannya, maka beliau akan bersedia belajar dengan tekun sehingga mencapai apa yang dicita-citakan. Persoalannya ialah bagaimana untuk menggarap minat pelajar? Setiap guru pasti menggunakan pendekatan yang berbeza. Sebagai guru agama, usaha untuk menggarap pelajar menghayati mata pelajaran agama yang diajar adalah sangat diutamakan kerana disiplin ilmu ini sangat dekat dengan amalan kehidupan seharian. Justeru, kaedah yang telah dilaksanakan ialah memberi pujian dan galakan lebih daripada leteran. Bersikap tenang dan sabar ketika menghadapi karenah pelajar juga perlu dipraktikkan. Selain memberi ganjaran ke atas setiap hasil usaha pelajar, guru juga perlu bersikap terbuka dalam menerima cadangan daripada pelajar tentang bagaimana mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan. Tetapi, guru harus berdiplomasi dan memberi rasional sekiranya cadangan yang diutarakan tidak sesuai dengan proses PdP. Nilai ganjaran adalah tidak penting tetapi pelajar akan berasa cukup gembira dan berpuas hati apabila usahanya dihargai. Penampilan guru yang sentiasa ceria dan bersemangat mampu menarik minat pelajar. Guru akan lebih dihargai dan disayangi. Tidak salah sekiranya guru menjalin hubungan dengan pelajar umpama ibu, kakak atau rakan mengikut situasi yang sesuai. Usaha yang meletihkan tetapi sangat berbaloi apabila melihat hasilnya. Semua pengalaman ini berdasarkan aplikasi teori dan pengetahuan yang diperoleh semasa menjalani Latihan Perguruan. Demonstrasikan dalam proses PdP. Hasilnya pasti memuaskan. Selamat mengajar!