Monday 26 January 2015

Cara Untuk Meningkatkan Profesionalisme Guru

Profesionalisme merupakan salah satu nilai  yang menjadi aspek utama bagi mengenalpasti kredibiliti seorang warga pendidik. Seorang guru yang bersikap profesional akan melengkapi segala aspek kualiti yang diperlukan bagi melayakkan dirinya untuk diiktiraf sebagai dinamik dan berkaliber. Ciri profesionalisme pula hanya boleh diukur melalui kualiti kerja yang dilaksanakan berdasarkan indikator yang memenuhi aspirasi falsafah pendidikan. Tahap profesionalisme pula perlu dipertingkat dari masa ke semasa. Apabila difokuskan dalam bidang pendidikan, maka tahap profesionalisme yang paling diutamakan ialah dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Antara usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap profesionalisme, guru perlu sentiasa peka dan memahami setiap perubahan dasar yang berlaku dalam sistem pendidikan disamping memahami matlamat yang ingin dicapai. Demikian kerana, dalam usaha Negara untuk melahirkan ‘modal insan’ ,mata pelajaran Pendidikan Al-Quran & As-Sunnah adalah medium yang melengkapi kearah matlamat tersebut. Pelajar yang cemerlang secara bersepadu perlu diperkukuhkan dari aspek rohaninya melalui penghayatan Al-Quran dan memahami konsep Sunnah agar potensi diri yang dimiliki menjurus kearah kebaikan.
            Usaha yang kedua ialah sentiasa berfikiran kreatif untuk mencipta inovasi-inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran seiring dengan perubahan zaman. Dalam kemajuan teknologi maklumat contohnya, penggunaan ICT dalam mata pelajaran boleh dilaksanakan dengan jayanya . Contohnya menghasilkan bahan bantu mengajar dalam bentuk interaktif agar P&P yang dijalankan menjadi lebih menarik dan berkesan sesuai dengan kecenderungan pelajar di abad ini. Kemahiran dalam bidang ICT pula perlu diteroka melalui kursus-kursus multimedia dan komunikasi. Bidang agama tidak menghalang seseorang guru untuk mencapai tahap kemahiran yang sama tinggi dengan bidang akademik lain seperti sains dan matematik. Malah, bidang agama sangat fleksibel untuk disesuaikan dalam apa jua bentuk teknik dan kaedah selagi tidak mengubah nilai dan disiplin ilmunya.
            Kaedah ‘Lesson Study’ yang diperkenalkan pada tahun ini merupakan pendekatan berkesan untuk melatih diri menjadi seorang guru yang perfesional. Kaedah yang berkonsepkan pementoran dan perkongsian kepakaran memberi peluang kepada guru untuk mencari kelemahan dan membuat penambahbaikan melalui teguran serta cadangan membina yang diberikan oleh rakan sekerja lain. Malah, guru dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran guru lain dalam mencari kaedah paling berkesan bagi P&P yang dijalankan. Lantaran itu, penglibatan dalam program ‘Lesson Study’ perlu dibudayakan secara konsisten dari masa ke semasa.
            Guru yang mencapai tahap pakar perlu menguasai mata pelajaran yang diajar sepenuhnya. Bagi meningkatkan tahap penguasaan, saya perlu sentiasa bersedia sebelum menjalankan PdP dari aspek isi pengajaran dengan memperbanyakkan sumber. Antaranya mengkaji kitab-kitab asal yang berkaitan dengan tajuk supaya input tambahan dapat dikongsikan bersama pelajar. Pergantungan kepada penggunaan buku teks perlu dikurangkan supaya P&P menjadi lebih menarik. Ada ketikanya, pelajar tidak berminat dengan penggunaan buku teks kerana dianggap rigid dan membosankan. Situasi ini merupakan cabaran bagi guru untuk menggarap minat pelajar terhadap mata pelajaran. Justeru, keperlbagaian sumber perlu digunakan supaya pemikiran pelajar dapat dikembangkan.
            Saban tahun, setiap guru akan ditawarkan dengan program kursus dan bengkel yang bertujuan untuk memantapkan kemahiran. Contohnya Kursus Pengurusan Pengajaran Dan Pembelajaran Berkesan, Kursus Penataran Instrumen Mata Pelajaran dan Kursus Aplikasi Teknologi Maklumat dalam P&P. Sebagai guru yang komited, penyertaan dalam setiap kursus atau bengkel yang ditawarkan adalah digalakkan sebagai medium yang mengukuhkan lagi kemahiran dalam proses PdP.  Sekembalinya dari kursus, sesi ‘in-house-training’ perlu dilaksanakan dengan melibatkan guru panitia lain supaya segala input yang diperolehi dapat dikongsi dan dikembangkan secara menyeluruh.
            Budaya Perkongsian Ilmu juga perlu dilakukan melalui lawatan-lawatan penanda aras atau ’benchmark’ ke sekolah-sekolah cemerlang. Tujuannya ialah untuk melihat bidang-bidang kecemerlangan yang dicapai terutama dalam bidang akademik. Melalui program tersebut, guru dapat melaksanakan integrasi ilmu dan mendapatkan khidmat pementoran daripada guru-guru cemerlang dari sekolah lain. Perkongsian  dalam bentuk kepakaran juga dapat dilaksanakan lalu diaplikasikan di sekolah sendiri seterusnya menjadi contoh kepada guru-guru yang lain.

            Guru yang profesional membantu melonjakkan kualiti pendidikan Negara sebagaimana yang diharapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi mencapai tahap tersebut, setiap guru perlu menghayati tugas dan peranannya sebagai pendidik agar tidak tersasar daripada fungsinya yang sebenar sebagai agen sosial utama dalam masyarakat  . Justeru, setiap guru perlu mengamalkan tiga prinsip utama iaitu, menjalankan tugas sebagai tanggungjawab,  sumbangan dan pengorbanan. Guru yang profesional akan menjadi pemangkin kemajuan Negara . Ini bertepatan dengan moto Hari Guru  pada tahun ini iaitu ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’.

No comments:

Post a Comment