Monday 26 January 2015

CARA MENGHADAPI SAKIT MENURUT AL-QURAN DAN HADIS.


            Bagi menunjukkan kasih dan rahmatNya, Allah swt mengurniakan perlbagai nikmat yang tidak terkira kepada semua umat manusia. Antara nikmat yang dikurniakan ialah nikmat kesihatan . Namun, apa yang menyedihkan ialah  manusia sering lupa dan alpa dengan nikmat tersebut , apatah lagi mensyukurinya. Ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Dua nikmat paling besar yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang” (Riwayat Sahih al-Bukhari).

            Bagaimana pengabaian nikmat kesihatan itu berlaku? Hakikatnya, manusia tidak memanfaatkan nikmat tersebut untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan soleh. Bahkan, nikmat kesihatan digunakan untuk melakukan maksiat dan kemunkaran seperti berpoya-poya, bersembang kosong, mengunjungi tempat-tempat maksiat dan berhibur. Berdasarkan situasi tersebut, Rasulullah saw mewasiatkan umatnya agar menggunakan nikmat kesihatan dengan sebaiknya sebelum datangnya sakit. Ibn. Abbas r.a pernah mendengar Rasulullah saw bersabda dengan maksudnya :
“Rebutlah lima perkara sebelum dating lima perkara, iaitu hidupmu sebelum dating kematianmu, sihatmu sebelum dating sakitmu”.

            Dewasa ini, manusia menghadapi berbagai –bagai jenis penyakit seperti diabetes, darah tinggi, angin ahmar dan gangguan ilmu-ilmu sihir. Ada segelintir manusia yang menderita menanggung penyakit tertentu dalam tempoh masa yang sangat lama. Bahkan ada yang mati dalam usia yang masih muda. Bagi golongan yang beriman, mereka menerima penyakit sebagai satu bentuk ujian yang menguji keimanan. Disebalik penderitaan tersebut, mereka yakin bahawa ada hikmah disebaliknya yang akan memberi manfaat kepada diri yang menanggung penyakit. Maka mereka menerima dugaan tersebut dengan hati yang sabar dan sentiasa berfikiran positif. Sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud :
“Demi Allah, Kami akan menguji kamu dengan perasaan takut (kepada musuh), kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta lenyap hasil tanaman. Oleh itu, berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”.
            Antara hikmah yang Allah kurniakan kepada hambaNya yang menghadapi penyakit ialah :
1)    Dihapuskan dosanya selama mana hamba tersebut bersabar dan sentiasa mengingati Allah swt melalui amal ibadah, zikir dan bermuhasabah diri sepanjang tempoh dalam menghadapi ujian penyekit . Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw bermaksud :
“Seorang muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita walaupun tertusuk duri pasti ALLAH akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu”

2)    Allah menambahkan kebaikan dalam urusan hidupnya dengan cara yang tidak disedari oleh orang yang menanggung penyakit. Bayangkan apabila ditimpa penyakit, orang-orang yang ada di sekeliling akan menunjukkan rasa simpati dan kasih sayang mereka. Lalu dijaga dan diberi perhatian sepenuhnya. Segala keperluan seperti ubat-ubatan, makanan berkhasiat dan kata-kata semangat pasti akan disediakan  Rezekinya juga akan bertambah. Nikmat-nikmat tersebut tidak akan diperoleh semasa sihat.  Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang ingin diberi kebaikan oleh ALLAH, pasti dia akan ditimpa musibah”.

3)    Penyakit yang dihidapi akan merawat penyakit yang lain sebagaimana menurut teori sainsnya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw melarang umatnya mencela dan memaki penyakit yang ditanggung. Hal ini demikian kerana kadagkala penyakit di dalam badan tidak dapat dikeluarkan dan disembuhkan melainkan dengan cara didatangkan penyakit lain seperti demam dan selsema. Maka, di situlah letaknya hikmah sebagai tanda kasih sayang Allah sawt terhadap hambaNya yang dikasihi dengan cara yang tidak disukai tetapi mendatangkan hikmah yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Janganlah engkau mencela demam kerana sesungguhnya demam itu akan menghilangkan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tukang besi menghilangkan karat besi”.

4)    Penyakit mengembalikan manusia kepada Allah swt dan istiqamah di atas agamanya.
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa pada zaman Rasulullah saw , baginda telah didatangi oleh satu rombongan orang Badwi untuk memeluk Islam. Setelah kembali ke kampung halaman, apabila tiba musim hujan, tanaman mereka menjadi subur. Lalu mereka berkata : “Sesungguhnya agama baru kita itu sangat baik” lalu mereka berpegang teguh dengannya. Sebaliknya apabila tiba musim kemarau  menyebabkan tanaman tidak subur lalu mereka berkata : “Sesungguhnya tidak ada sebarang kebaikan pun dalam agama baru kita ini”. Mereka berpaling daripada agama dan mengkhianati ikrar mereka terhadap Rasululullah saw. Peristiwa tersebut adalah contoh kepada situasi manusia apabila menghadapi musibah. Mereka akan beriman sekiranya diberi nikmat tetapi menjadi kufur apabila diberi musibah. Maka Allah swt menurunkan ayat 48 dari surah al-Zukhruf yang bermaksud :
“Kami timpakan mereka dengan berbagai-bagai azab (bala bencana) supaya mereka kembali (bertaubat kepada Allah)”.
      Bagi golongan yang menghayati ayat tersebut,  penyakit yang diturunkan oleh Allah sebenarnya mendekatkan manusia kepadaNya. Secara logiknya, orang yang sakit akan duduk di tempat tidurnya atau di hospital dengan meninggalkan segala urusan kehidupan hariannya yang melekakan. Maka peluang tersebut digunakan sepenuhnya untuk berehat dan melapangkan fikiran . Dari aspek rohaninya pula, peluang tersebut digunakan untuk mengingati Allah, bermuhasabah, berzikir dan bermunajat tanpa sebarang gangguan. Sekiranya amalan-amalan tersebut dilakukan secara berterusan, maka mereka menjadi golongan yang beriman dan bertakwa sebagaimana firman Allah swt mengenai kisah Nabi Ayub dalam surah as-Sod ayat 44 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar. Dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia sentiasa kembali (kepada Kami dengan beribadah)”.

5)    Allah memberi pahala dan mengurniakan syurga sebagai ganjaran kepada golongan yang sabar menghadapi ujian penyakit sebagaimana yang dijanjikan. Sekiranya ditakdirkan seseorang itu mati disebabkan penyakitnya, maka matilah dia dalam iman. Selama mana dia menanggung kesakitan, maka selama itulah dosanya terhapus sedikit demi sedikit . Menurut Abu Said al-Khudri r.a, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
“Apabila seorang hamba sakit atau musafir (lalu tidak mampu melakukan amal soleh), akan ditulis bagiNya pahala bagi setiap amalan yang dilakukannya ketika bermukim dan ketika sihat”.

Maka besarlah hikmah penyakit yang dikurniakan Allah swt. Janganlah dianggap sebagai musibah, tetapi ujian terhadap keimanan dan tanda rahmat Allah swt kepada hamba-hambaNya yang beriman. Sesungguhnya Allah swt tidak akan menguji umatNya dengan sesuatu yang tidak mampu ditangung oleh seseorang. Allah swt pasti menguji setiap hambaNya dengan berbagai bentuk ujian dan musibah. Sekiranya penyakit sebagai bentuk ujiannya, maka redhalah dengan kurniaan tersebut kerana pasti ada ganjaran disebaliknya. والله اعلم بالصواب .



No comments:

Post a Comment