Monday 26 January 2015

Berwaspada Terhadap Golongan Fasik (Surah Al-Hujurat : 6)



            Di dalam Al-Quran banyak menyebut perihal golongan Fasik yang menjadi ancaman besar terhadap masyarakat Islam tanpa disedari. Hal ini demikian kerana, golongan Fasik amat menonjol dan begitu agresif menzahirkan sifatnya . Allah swt banyak memberi peringatan perihal golongan Fasik di dalam Al-Quran dengan tujuan supaya umat Islam berwaspada terhadap golongan tersebut. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat ke-6 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu”.
           
Bagi menghadapi golongan Fasik, umat Islam terlebih dahulu perlu mengenali karektor golongan tersebut dari pelbagai aspek. Dari sudut etimologi, Fasik ialah keluar dari sesuatu atau menyimpang dari perintah. Manakala dari sudut terminologinya ialah orang yang menyaksikan tetapi tidak meyakini dan melaksanakan. Golongan fasik adalah orang Islam  yang percaya akan adanya Allah swt dan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Tetapi dari aspek perbuatan mereka ingkar terhadap Allah swt dan sentiasa melakukan maksiat. Berdasarkan kepada analogi tersebut, mereka berani menentang hukum secara terang-terangan dan berterusan . Jelas, mereka adalah golongan yang menderhaka dan dilaknat  sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 19  yang bermaksud :
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah sehingga Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.
                                                                           
Antara ciri utama golongan fasik ialah kecenderungan mereka memutuskan hubungan silaturrahim dan merosakkan keharmonian masyarakat melalui penyampaian berita yang berunsur provokasi, cemuhan, fitnah dan hasutan. Dalam sekelip mata seorang sahabat akan menjadi musuh dan seorang pemimpin hilang kewibawaannya gara-gara fitnah yang disebarkan sebagaimana yang pernah berlaku kepada Saidatina Aisyah dalam peristiwa ‘Hadisul Ifki’ . Masyarakat yang mudah terpedaya  akan membuat tanggapan secara membabi buta dan hilang pertimbangan lalu bertindak diluar kewarasan akal . Kesannya, masyarakat akan bertelagah dan bermusuhan seterusnya menjadi huru-hara. Berdasarkan kepada situasi tersebut, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka yang mengolok-olok”.

Ciri yang kedua bagi golongan fasik adalah sifatnya yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Golongan fasik dianggap  menderhaka kerana bertindak mengikut hawa nafsu melakukan maksiat sedangkan mereka tahu akan hukumnya di sisi Allah. Mereka mencabar hukum Allah dengan menempelak dan memperlekeh setiap perkara yang telah ditetapkan oleh syara’ . Dengan jelas mereka menzahirkan tanggapan dengan mengatakan bahawa hukum Allah  kononnya sudah tidak sesuai dengan peredaran zaman dan menyusahkan.  Allah swt meletakkan golongan fasik pada martabat yang sangat rendah kesan daripada perbuatan mereka yang membelakangkan hukum Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 47 yang bermaksud :
“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang fasik”.
           
Dalam konteks penyampaian berita atau maklumat, Islam amat menitik-beratkan soal kepercayaan dan meyakinkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Mawardi dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud “Umumkanlah orang fasik dengan keadaan yang ada padanya agar masyarakat berwaspada dengannya”. Berdasarkan kepada peringatan tersebut, wajarlah bagi umat Islam menyelidik terlebih dahulu sebarang berita atau maklumat yang disampaikan oleh golongan fasik dengan memastikan sejauhmana kebenarannya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah, dan tergopoh-gapah adalah dari syaitan”.Demikian kerana, berita yang dibawa oleh golongan fasik boleh memberi impak yang besar terhadap individu lain dan masyarakat selain menggugat keimanan.
           
Selain daripada berwaspada dengan khabar berita golongan fasik, Allah swt melarang golongan Mu’min daripada beramah mesra dan bergaul dengan golongan fasik sambil mendiamkan diri atau meredhai kekufuran mereka. Demikian kerana ditakuti tingkah laku dan perbuatan golongan yang dicela itu akan mempengaruhi golongan yang lain . Kecuali, sekiranya ada segolongan manusia lain yang ingin menyampaikan dakwah, membantah kebatilan dan mengingkari kata-kata mereka, maka diharuskan demi kemaslahatan ummah. Ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam surah at-Taubah ayat 96 yang bermaksud :
“Jika sekiranya kamu redha kepada mereka maka sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik”.

Dalam era kecanggihan teknologi maklumat di zaman ini, berita amat mudah disebarkan. Hanya dengan menggunakan hujung jari, maklumat akan disampaikan dengan pantas tanpa sempadan. Kecanggihan tersebut diambil peluang sepenuhnya oleh golongan fasik untuk menyebarkan fitnah bagi tujuan tertentu. Implikasinya, fitnah dan hasutan lebih mendominasi pemikiran umat masa kini.  Lantaran itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan bijak menilai sebarang berita yang diterima. Adalah tidak wajar sekiranya hubungan silaturrahim antara umat hancur hanya disebabkan oleh bahana fitnah sedangkan kerukunan dalam bermasyarakat harus dipertahankan demi kesejahteraan agama dan negara.Justeru, setiap umat Islam perlu memahami dan mengenal golongan Fasik agar dapat menghindarkan diri daripada terpengaruh . Mudah-mudahan melalui bait-bait tazkirah ini, beberapa pengajaran dapat diambil untuk dijadikan panduan dan benteng keimanan.  Wallahu A’lam.



1 comment: