Monday 26 January 2015

Keberhasilan Murid Dalam Menghasilkan Sumber Manusia Yang Kompeten

       Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dibina dengan hasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan secara menyeluruh merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Dalam anjakan kesepuluh, matlamat yang ingin dicapai dalam transformasi pendidikan ialah memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit yang dibelanjalan oleh pihak kerajaan. 16% daripada peruntukan yang dibelanjakan dalam sistem pendidikan digunakan untuk melaksanakan program-program yang menjurus kearah keberhasilan murid. Keberhasilan murid atau diistilahkan sebagai ‘student outcome’ adalah usaha untuk menghasilkan modal insan yang kompeten dalam aspek ilmu dan kemahiran, inovatif dan kreatif, bersahsiah dan patriotik , cerdas dan berpandangan alam sarwajagat. Bagi memenuhi keperluan negara untuk bersaing di peringkat global, aspirasi murid yang ingin dicapai ialah membangunkan murid yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelan ini juga merujuk sistem pendidikan yang berprestasi tinggi bagi mengenal pasti kemahiran khusus yang boleh diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menerajui pembangunan ekonomi global. Justeru itu, transformasi kaedah PdP harus dilakukan dalam usaha meningkatkan kompetensi pelajar.
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘transformasi’ ialah perubahan bentuk iaitu sifat, rupa dan keadaan. Pembelajaran pula dimaksudkan sebagai proses interaksi didik dengan pendidik agar berlakunya proses pemerolehan ilmu dan pengetahuan atau penguasaan kemahiran, pembentukan sikap dan kepercayaan pada peserta didik. Manakala Pengajaran ialah proses merekabentuk kurikulum, penyampaian kurikulum dan sistem penilaian pelajar (Rahil, Jami’ah dan Kasnani, 2000). Transformasi kaedah PdP ialah perubahan bentuk dalam proses pemerolehan ilmu dan kemahiran melalui perubahan bentuk kurikulum dan kaedah penyampaian yang lebih berkesan.
Menurut Abdullah Ibrahim dalam kajiannya yang bertajuk “Pembelajaran Berpusatkan Pelajar Dan Kaitannya Dengan Pembangunan Diri Dan Peluang Pekerjaan” telah menyatakan bahawa ibu bapa dan guru kini cukup berpuashati dengan kejayaan pelajar yang cemerlang di sekolah sedangkan nasib pelajar yang dihasilkan belum tentu benar-benar berjaya kerana masih ‘pincang’ dari segi kebolehan sebenar mereka. Apabila pelajar ini berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi mereka akan mengulangi sistem pembelajaran cara tradisional dan syarahan menjadi teknik yang dominan. Implikasinya, kelulusan yang cemerlang tidak memadai untuk menempuh alam pekerjaan kerana tidak memiliki kemahiran yang diperlukan selain hanya bidang yang dipelajari. Justeru, beberapa institusi pengajian tinggi telah melaksanakan pendekatan yang menyediakan pelbagai pengetahuan dan kemahiran selaras dengan keperluan industri iaitu pengetahuan teknikal, kemahiran teknikal dan soft skill. Soft Skill merupakan kemahiran utama yang diperlukan oleh sektor pekerjaan khasnya industri selain kemahiran dalam work related area (Rees, 1989 ; Mahaleel , 2002 ; Andullah, 1991).
            Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sentiasa mengalami perubahan selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran dalam era globalisasi. Tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi memastikan keberhasilan murid yang bersifat holistik, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Kaedah tradisional bukan lagi cara terbaik dan mampu menyediakan pelajar dengan pelbagai kemahiran khasnya  yang diperlukan oleh sektor pekerjaan. Rentetan daripada itu, beberapa seminar telah diadakan antaranya seminar “Problem-Based Learning” anjuran Universiti Malaya , “International Conference On Learning and Teaching” anjuran UiTM dan “3rd International Workshop On Self-Learning Material Development” anjuran USM. Bagi menentukan keberkesanan , guru perlu menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Kaedah PdP yang sesuai dengan matamat tersebut ialah pembelajarn berpusatkan pelajar (Student-Centered-Learning) dan pendekatan penyelesaian masalah.

1.                  Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Student-Centered-Learning).
Perkembangan dalam ilmu pendidikan khususnya, menyebabkan berlakunya anjakan paradigm dalam strategi pengajaran dan pembelajaran . Pembelajaran Berpusatkan Pelajar atau lebih dikenali sebagai “Student-Centered Learning” di peringkat global, telah dilaksanakan di negara maju dengan pelbagai panggilan seperti “Student-Centered Instruction” (Felder dan Brent,1996) atau “Student-Centered Teaching” (Motschning-Pitrik,2004) atau “Learner-Centered Instruction” (Newby, 2000). Pendekatan SCL adalah strategi yang boleh membina tiga jenis kemahiran yang dianggap laris dalam sektor pekerjaan iaitu pengetahuan dan kemahiran dalam work related area serta soft skill atau social skill.
Bersesuaian dengan gaya pembelajaran masa kini, pihak kerajaan begitu agresif mempromosikan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar bagi menggantikan pengajaran berpusatkan guru. Tetapi dalam masa yang sama guru tetap berperanan sebagai pembimbing dan fasilitator bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar dan mencapai matlamat yang dirancang. Illustrasi di bawah menunjukkan satu kontinum pergerakan pembelajaran berpusatkan guru kepada pembelajaran berpusatkan murid .
Menurut Santrock (2008), apa yang penting dalam pengajaran di bilik darjah atau kuliah ialah memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan bakat dan kecerdasan mereka dalam proses pembelajaran. Kaedah ini memberi peluang kepada pelajar melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran dibantu oleh pengajar yang berperanan sebagai fasilitator (Shahabuddin Hashim , 2003). Pembelajaran Berpusatkan Pelajar atau “Student-Centered-Learning” (SCL) menurut Collins dan O’Brien (2003) dinyatakan seperti berikut :
“Student-centered instruction (SCI) is an instructional approach in which students influence the content, activities, materials and pace of learning. This learning model places the student in the center of the learning process. The instructor provides students with opportunities to learn independently and from one another and coaches them ini the skills they need to do so effectively”.

            Pendekatan Pembelajaran berpusatkan murid menekankan penglibatan aktif pelajar dalam proses PdP (Shuell, 1986). Menurut Meyers dan Jones (1993), sekiranya kaedah ini  dijalankan dengan baik akan memberi kesan terhadap peningkatan dalam motivasi pelajar untuk belajar, menguasai isi pelajaran yang lebih mendalam dan bermakna, serta sikap yang lebih positif terhadap mata pelajaran atau kursus yang diikuti. Kelebihan yang dapat diperolehi melalui kaedah ini ialah pelajar akan lebih bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam menguasai pelajaran. Pelajar mempunyai peranan yang penting dalam merancang pembelajaran, membuat kajian mendalam, menilai hasil kerja, serta berinteraksi dengan pengajar, pelajar dan sumber maklumat lain dalam proses pembelajaran seterusnya membentuk peribadi pelajar yang bermotivasi tinggi, sentiasa mempunyai naluri ingin tahu, berupaya mengurus masa dengan bijak serta mahir mencari maklumat. Justeru, pembelajaran berpusatkan murid adalah paling sesuai dan berkesan untuk memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar .
            Kaedah SCL juga berupaya membentuk kematangan peribadi pelajar melalui aktiviti yang dirancang semasa proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Pendekatan SCL juga bertujuan untuk membina kemahiran sosial pelajar bagi membekalkan diri dengan alam pekerjaan yang memerlukan kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan kebolehan menyelesaikan masalah. Justeru, wajar sekiranya pendekatan ini dilaksanakan secara berkesan bermula di peringkat sekolah bagi mencapai matlamat keberhasilan murid hingga ke peringkat yang lebih tinggi bagi mencapai sumber tenaga yang kempeten.

1.                  Pendekatan Penyelesaian Masalah .
Berdasarkan hasil kajian yang menyatakan bahawa salah satu kriteria kemahiran yang diperlukan oleh majikan terhadap pekerja ialah kemahiran kognitif iaitu kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis . Lantaran itu, kaedah PdP yang dilaksanakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu kepada aplikasi teknik penyelesaian masalah. Tujuannya adalah untuk melatih pelajar menggunakan daya fikiran secara aktif dalam menyelesaikan masalah dalam pembelajaran. Kebolehan ini akan digarap dan dilestarikan apabila masuk ke alam pekerjaan kerana realitinya sumber manusia bakal berdepan dengan masalah pekerjaan yang kompleks dan pastinya memerlukan penyelesaian secara efektif bagi memenuhi kepuasan majikan.
Penyelesaian masalah merupakan kaedah PdP yang berasaskan pengalaman dan memerlukan pelajar berfikir secara aktif. Teknik pengajaran ini mempunyai persamaan dengan pengajaran berpusatkan pelajar yang bertujuan agar pelajar dapat menyelesaikan masalah yang diberi menggunakan kemahiran berfikir sepenuhnya (Savery & Duffy, 1995). Kaedah secara praktis ini bertujuan untuk menjana pelbagai idea yang bernas bagi membentuk beberapa penyelesaian yang lebih praktikal dan efektif. Kaedah penyelesaian masalah telah digunakan seawall 1970an (Neufeld & Barrows, 1974) dan digunakan secara meluas dalam bidang Pendidikan Perubatan (Barrows, 1996). Teori lain berkaitan kaedah penyelesaian masalah ialah suatu strategi yang dilakukan oleh pelajar untuk mencapai matlamat, berdasarkan maklumat yang diberikan dalam sesuatu masalah (Mayer, 1985). Pelajar perlu mampu menterjemahkan dan mengintegrasikan maklumat dalam masalah tersebut agar dapat difahami seterusnya mampu merancang , melaksanakan strategi serta memiliki pengetahuan tentang prosedur penyelesaiannya.
Menurut Lester (1970), masalah merupakan suatu situasi apabila seseorang individu atau kumpulan itu dikehendaki melaksanakan kerja penyelesaian. Mereka hendaklah menentukan strategi dan kaedah penyelesaian masalah terlebih dahulu sebelum melaksanakan kerja penyelesaiannya. Strategi penyelesaian masalah bergantung kepada pengalaman, pengetahuan dan kemahiran pelajar yang sedia ada serta kefahaman masalah yang berkenaan. Faktor ini dibantu melalui pembelajaran berpusatkan pelajar yang menjadikan mereka bersifat matang, bermandiri dan berdikari dalam menyelesaikan masalah. Kaedah penyelesaian masalah merupkan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pelajar bergerak secara aktif dalam kumpulan-kumpulan kecil dan menyelesaikan masalah secara berhati-hati (Glen & Wilkie, 2000). Penyelesaian masalah juga sebagai satu pembangunan kurikulum dan sistem pendidikan yang serentak membangunkan kedua-dua strategi penyelesaian masalah serta pengetahuan disiplin asas (Finkle dan Torp, 1955). Kesimpulannya, melalui proses ini pelajar dapat menggerakkan minda secara aktif dan membantu proses proses pembelajaran. Hasilnya, dapat menyediakan peluang pelajar untuk mengaplikasikan konsep, prinsip dan teori yang telah dipelajari. Seterusnya menggalakkan pemikiran kritis, analitis, logis dan rasional serta membina sifat keyakinan diri.
            Kaitan antara dua kaedah PdP tersebut adalah, dalam pelaksanaan pembelajaran berpusatkan pelajar akan melatih pelajar menyelesaikan masalah pembelajaran secara kendiri. Kesannya, pelajar akan lebih matang dan berusaha menguasai ilmu serta kemahiran yang yang diajar. Pengalaman dan kemahiran tersebut akan digunakan apabila mereka memasuki alam pekerjaan pada masa akan datang dan berjaya memenuhi kriteria sumber tenaga yang diperlukan oleh pihak majikan.

Kesimpulan.
Dalam kerangka pelan pembangunan PPPM (2013-2025), pihak kerajaan mensasarkan kemenjadian murid sebagai matlamat utama. Rasionalnya adalah setiap peruntukan yang dibelanjakan dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi melahirkan modal insan yang berkualiti. Matlamat PTV pula ingin melahirkan sumber tenaga kerja yang bersifat kompeten dan ‘employabiliti’ sebagai respon kepada isu-isu yang timbul dari kalangan majikan, ibu bapa dan masyarakat. Sistem pendidikan secara praktikalnya masih belum bersedia menuju kearah pembangunan sumber manusia yang kompeten berdasarkan masalah dan cabaran yang terpaksa dihadapi. Guru dan pemimpin sekolah atau institusi pendidikan memainkan peranan penting sebagai penggerak sistem pendidikan dan perlu melakukan transformasi secara berkesan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah atau institusi, pendekatan pembelajaran dan pengajaran serta mentaliti kearah yang lebih positif dan proaktif. Kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar dan penyelesaian masalah dilihat sebagai salah satu kaedah pembelajaran yang berkesan bagi melahirkan sumber manusia yang berkualiti dan relevan dengan keperluan alam pekerjaan. Penyertaan aktif dan keupayaan kognitif yang tinggi dalam kalangan pelajar melalui kaedah PdP yang dilaksanakan, dapat membantu pelajar mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan alam pekerjaan yang sebenar seterusnya menghadapi cabaran pada masa akan datang. Dalam konteks alam pekerjaan, kepuasan majikan dan kualiti hasil pengeluaran industri menjadi indikator yang mengukur tahap kompetensi pekerja. Persaingan antara pekerja juga akan berlaku secara sihat dan memberangsangkan. Apabila situasi ini berjaya dicapai, maka berhasillah pelan pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Kesannya, sistem pendidikan negara menjadi setaraf dengan kualiti pendidikan di peringkat dunia.

Rujukan

Abdullah.  (1989) . Vocational Education and Training in an Industrialising Economy . Unpublished PhD Thesis.

Aminudin Mokhtar dan Usha a/p Thamotheran . (2008) . Pekerja Asing Di Malaysia : Faktor-Faktor Yang Mendorong Majikan Mengambil Pekerja Asing . Prosiding PERKEM III . Jilid 1. 42-48

Collins, J.W 3rd & O’Brien, N.P (2003) . Greenwood Dictionary Of Education. Greenwood : Westport,CT.

Ee Ah Meng. (1999). Siri Diploma Perguruan : Pendidikan Di Malaysia , Falsafah Pendidikan Guru dan Sekolah . Edisi Kedua . Shah Alam : Fajar Bakti.

Gainer (1988) . ASTD update : Basic Skills. Elexandria, VA : American Society For Training And Development . (ERIC No. ED 291882).

Hallak, J. dan Caillods, F. (1980) . Introduction, Education, Work and Employment . Paris : UNESCO.

Hoong, S.S (1989) . Human Resources-Advanced Skill And Vocational Training. Paper Presented at the Centre For Instructor and Advanced Skill Training (CIAST).

Isahak Haron (1992) . Aliran Perkembangan Pendidikan Dan Pembentukan Malaysia Sebagai Negara Industri Abad Ke 21 . Pidato Umum Institut Aminuddin Baki Kali Ke 4 di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 1 Disember 1992.

Ismail, S. (2011) . Program Transformasi Pendidikan Vokasional Bermula Pada 2013 . Dicapai pada November, 2013 .

___________ . Jtm Komited Lahirkan Graduan Kopetitif Dan Tenaga Kerja Mahir. Jabatan Tenaga Manusia . Dicapai dari www.jtm.gov.my/ver25/index.php/ms/component/content/article/51-akhbar/251-jtm-komited-lahirkan-graduan-kompetitif-dan-tenaga-mahir-10-disember-2013?tmpi=component&print=1&page=. Dicapai  pada 19 Disember 2013

Kamal, S. dan Mei, L.Y (1996) . Sectoral Projection In Manpower Needs In Malaysia dalam The Human Resource Perspective Towards Achiving Vision 2020 . Kementerian Pembangunan Industri Sarawak : UITM Sarawak.

Kamus Dewan . (2007 ). Edisi Keempat . Kuala Lumpur : DBP.

Lester, F., Garofalo, J. dan Kroll, D. (1989) . The Role Of Metacognition in Mathematical Problem Solving : A Study of Two Grade Seven Classes . Final Report to the National Science Foundation of NSF Project .

Mayer, R.E. (1985) . Implications of Cognitive Psychology for Instruction in Mathematical Problem Solving . Dalam Mohd. Uzi Dollah (2006) . Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Melalui Penyelesaian Masalah. Kuala Lumpur : DBP.


Mohd. Safarin Nordin (2004) . Kemahiran Generik – Kepentingan Dalam Memenuhi Keperluan Majikan Masa Kini . Skudai : Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd. Yusoff Mohd., Mohd. Fadhil Nuruddin dan Naimah Yong (1995). Cabaran Perindustrian Masa Hadapan Dan Kualiti Graduan Teknikal Yang Diperlukan. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Teknik dan Kejuruteraan, UTM Skudai pada 15-16 Ogos 1995.

Motschnig-Pitrik, R. & Carl Rogers . Student-Centered Learning With e-Learning : Experiences, Consiquences and Hypothese. Dicapai pada November 2013 dari http://www.saybrook.edu/crr/papers/motschnig-.html

Nurul Nadya Abu Bakar, Rohana Hamzah & Amirudin Udin . (2011). Cabaran-Cabaran Dalam Pendidikan Teknik Dan Vokasional Dalam Membangunkan Sumber Manusia . Journal of Edupres, Volume 1 . Skudai : UTM.

Rahil Mahyuddin, Jami’ah Mohamad dan Kasnani Ab. Karim . (2000) . Psikologi Pendidikan II . Sukatan Pelajaran Baru Diploma Perguruan Malaysia. Kuala Lumpur : Longman.

Rees , G.W. (1989) . Employer’s Recruitment Strategies. Vocational Educatioan and Training : An Analysis of a ‘Loose’ Labour Market . A Research Report . University of Wales .

Santrock, J. (2008) . Educational Psychology (3rd edition). New York : Mc-Graw Hill.

Shahabuddin Hashim (2003) . Pedagogi 1 : Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Shahril (1993) . Peranan Pendidikan Teknik Dan Vokasional Dalam Pembangunan Sumber Manusia Bagi Mencapai Matlamat Wawasan 2020. Jurnal Pendidikan.

Starz, C. (1997) . Do Employers Need the Skills They Want? Evidence From Technical Work. Journal of Educatioan and Work . Vol.10, No.3,205-223.

Yahya Buntat, Nurihah Mohamad Saleh, Mahfuzah Musban, Aede Hatib Musta’mal @ Jamal dan Muhammad Sukri Saud (2012) . Competency Based Education : A Case Of Akademi Binaan Malaysia . Procedia Social and Behavioral Sciences. UTM. 

1 comment:

  1. Thank You for Sharing. Penulisan yang amat membina ilmu dan minda.

    ReplyDelete